Pada hari ini (19.3.2018) pihak KAUTeM telah menerima lawatan tiga wakil Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (ANGKASA) Negeri Melaka diketuai oleh Puan Norasimah Yahya bagi satu sesi penerangan ringkas kelebihan KAUTeM menjadi ahli kepada ANGKASA. Pada pertemuan itu, wakil ANGKASA menerangkan peranan ANGKASA dan SKM dalam perjalanan sesebuah koperasi berdaftar dan kemudahan serta bimbingan yang ditawarkan kepada ahli.
Visi, Misi, Matlamat & Fungsi ANGKASA
Visi ANGKASA adalah menjadi badan apeks pemangkin pembangunan koperasi terunggul di ASEAN menjelang 2020.
Misi ANGKASA adalah menyediakan produk dan perkhidmatan berkualiti tinggi serta melindungi kepentingan dan memperjuangkan hak gerakan koperasi melalui pengurusan yang professional.
Matlamat penubuhan ANGKASA terkandung di dalam Undang-Undang Kecil (UUK) ANGKASA (Pindaan 2010). Menurut subseksyen 4(3) Akta, matlamat ANGKASA sebagai badan yang mewakili Gerakan Koperasi di peringkat kebangsaan dan antarabangsa (yakni koperasi apeks) ialah:-
1. menyatukan semua koperasi dalam Malaysia;
2. mewakili Gerakan Koperasi Malaysia di peringkat kebangsaan dan antarabangsa;
3. memperjuang, mengawasi dan menjaga kepentingan dan pembangunan koperasi ahli khususnya dan Gerakan Koperasi amnya;
4. dan memudahkan operasi koperasi ahli.
Fungsi utama ANGKASA yang terkandung di dalam UUK 11 (1) adalah memastikan matlamatnya (ANGKASA) tercapai dengan memberi perkhidmatan sebagaimana yang diperihalkan dalam Undang-Undang Kecil. Di dalam UUK 11 (2), ANGKASA berfungsi untuk :-
1. memberi nasihat dan bantuan kepada koperasi ahli dalam perjalanan pengurusan perniagaan mereka;
2. menggalakkan kajian penyelidikan dan pembangunan berkaitan dengan Gerakan Koperasi;
3. menyedia dan memberi perkhidmatan nasihat dan panduan berkenaan dengan hal pentadbiran, pengurusan, perakaunan, audit, undang-undang, keusahawanan, skim perlindungan sosial termasuk zakat dan wakaf, kemudahan BPA dan lain-lain perkhidmatan untuk kepentingan koperasi ahli dan gerakan Koperasi amnya;
4. memajukan pendidikan, latihan dan penerangan ilmu koperasi, dan ilmu perniagaan, keusahawanan dan perindustrian dalam bidang yang dinyatakan dalam perenggan (o) fasal (1) undang-undang kecil 12;
5. membantu Kerajaan untuk menggalakkan dan mengembangkan Gerakan Koperasi dalam Malaysia selaras dengan Dasar Koperasi Negara dana pa-apa dasar Kerajaan berhubungan dengan koperasi;
6. mengambil dayausaha dan initiatif bagi menggalakkan dan menjalankan aktiviti-aktiviti dalam bidang sosial dan ekonomi Negara;
7. mengadakan atau menerima dan mentadbir kumpulan wang, tabung atau skim khas atau am bagi memajukan Gerakan Koperasi;
8. memainkan peranan dan menyelaras, sejauh mana yang munasabah, penjagaan alam sekitar;
9. berkhidmat sebagai pusat tumpuan fikiran mengenai segala perkara yang berkaitan dengan Gerakan Koperasi dan mengemukakan fikiran dan pendapat mengenai Gerakan Koperasi kepada mana-mana pihak yang berkaitan;
10. mengumpul segala maklumat berkaitan dengan Gerakan Koperasi;
11. mempromosi dan mengembang teknik pengurusan dan perniagaan serta penggunaan alat dan teknologi yang canggih;
12. melibatkan diri dalam kegiatan kemasyarakatan dan kebajikan termasuk penubuhan pasukan sukarela di dalam dan luar Malaysia; dan
13. pada amnya membantu dan memudahkan operasi koperasi ahli.
KAUTeM melihat keanggotaan di dalam ANGKASA mampu memberi manafaat dan faedah yang baik kepada ahli dan koperasi KAUTeM itu sendiri. Perincian keahlian KAUTeM akan dikemukakan dan disyorkan di dalam mesyuarat ALK KAUTeM akan datang untuk dipertimbangkan. Ahli akan dimaklumkan sebarang maklumat terkini.
Terima kasih.